
Orion adalah nama bagi satu daripada 88 buah buruj di langit. Secara kasarnya, ia terdiri daripada tujuh biji bintang utama yang lebih terang daripada bintang lain disekitarnya. Empat daripadanya membentuk segiempat tepat manakala tiga lagi terletak sederet melintang di tengah-tengah segiempat tepat itu. Berdasarkan bentuknya itu, orang Melayu di Nusantara menamainya Belantik iaitu sejenis alat perangkap binatang. Tiga bintang sederet itu dipanggil oleh orang Melayu sebagai Bintang Tiga Beradik. Orion boleh dilihat di langit malam dari bulan Disember hingga Mac. Oleh sebab Orion terletak di Khatulistiwa samawi iaitu unjuran Khatulistiwa Bumi di angkasa, buruj ini boleh dilihat dari mana-mana tempat di hemisfera utara dan selatan. Namun, kedudukannya berubah dengan berubahnya arah pandangan tadi, menyebabkan timbul pelbagai mitos dan nama untuknya. Di sepanjang Khatulistiwa (termasuk di Malaysia), buruj ini kelihatan "terbaring" yakni dalam kedudukan lanskap manakala di hemisfera utara (contohnya AS atau Eropah) ia kelihatan tegak (kedudukan potret) dengan Bintang Tiga Beradik condong ke kanan atas. Di hemisfera selatan (contohnya Australia), ia kelihatan sebaliknya iaitu "tertonggeng" (terbalik atas bawah). Orion di dalam bahasa Inggeris dan Yunani bermaksud nama pemburu dalam legenda Yunani purba. Mengikut sudut pandangan di Eropah, empat biji bintang yang membentuk kerangka luar segiempat tepat buruj ini kelihatan seperti susuk tubuh manusia (dengan tambahan beberapa bintang lebih malap di luar segiempat ini); Bintang Tiga Beradik pula membentuk tali pinggang pemburu itu. Di bawah Bintang Tiga Beradik, terdapat pula beberapa biji bintang malap, kononnya membentuk pedang (atau sarung pedang) pemburu itu. Dalam bahasa Tagalog, buruj ini dipanggil Balatik. Dalam bahasa Arab, ia dipanggil al-Jauzah (الجوزة) yang bermakna "yang di tengah-tengah" atau al-Jabbār (الجبار) yang bererti "perkasa" atau "gergasi".
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
0 ulasan:
Post a Comment